Isnin, 6 Februari 2017

TENANG



Bulan mengambang memancar sinar
berlari di celah gerigi kamar
lambang kasih
ibarat mengukir nama tasbih
Bayu malam meremang
Amat tenang

Mahal Si Pohon itu pada harga
sebab daun kata yang dua tersimpul rapat
batang iman sangatlah kuat
akar tenang tular menjalar

Ramai insan bicara laju
Walhal berisi kutu
Tenang itu perlu
Rahsia kalam bermutu
Ubat sendu sembilu

Tenang itu di sini
Ya, lubuk hati!
yang menyimpan hakikat cinta
yang tersimpan belikat setia
menghumban serabut kepala

Inginku berhenti berlari
kerana aku sudah penat
yang dikejar tak dapat
di sini mula pergi
dalam senandung haiku termenung
mendengar riak ombak
tenang sentiasa

-Sajak ini adalah nukilan bersama:
      a)dakwatumpah
      b)penaberlari

Disiapkan pada 7.27 malam | 3/2/2017,Jumaat

Sabtu, 21 Januari 2017

ADAKAH AKU DERHAKA?


Derasnya denyutan nadi seorang ratu
Ketika terbaring diteman raja
Ketika mendengar suara manja

Maka dilahirkan
Mahu hilang nyawa dari badan
Air mata mengalir
Kata sakit meniti di bibir
Namun
Tangisan itu suka
Bahagia juga bangga
Rijal yang dua
Menjadi cahaya mata

Adakah aku derhaka?
Kau mendidik aku mengherdik
Aku dibesar kau dikasar
Sayang dicurah diganti bantah

Adakah aku derhaka?
     Dari itu kau mendapat uzur
     Dari itu kau muram durja
     Dari itu kau berhenti kerja

Malu anak derhaka
Menganggap rahim ibu
Biasa semata
Mereka lupa
Saat ibunya mengusap perut
Lalu berkata
"Ibu sayang anak ibu."
Mereka alpa
Saat ibunya dilawan mulut
Lalu bersuara
"Anakku tidak menghormatiku."
Bicara itu dicampur hiba

Aku janji
Tidak akan berbuat leta
Cacat wa cela
Sebab aku sudah jera
Bertindak bak tanggang
Laksana kera sumbang

Aku sentiasa menyayangimu
Kerana aku tahu
Pintu syurga di kakimu
Maka
Ke syurga haram anak derhaka

Sajak ini ialah nukilan bersama:
      a) dakwatumpah
     b) penaberlari

Sabtu, 31 Disember 2016

HATI






Ketika senja melabuh tirai
Kelihatan si anak berjalan longlai
Dengan kaki pembawa tuah

Badan lesunya dibawa rapat
Mendekati si ibu
Bibir mungilnya mula bercerita

 " Ibu, setelah engkau mengizinkan
   Aku berjalan seawal subuh
   Sebelum fajar sempat mengintai"

" Aku teruja menikmati keindahan
   Panorama yang belum pernah terlihat
   Kebahagiaan yang kurasa berpanjangan
   Sehingga satu lengkingan menyapa deria"

Si anak berhenti menelan liur

" Aku menoleh,
   Terlihat olehku seekor makhluk
   Mulutnya runcing, bulunya panjang
   Kukunya tajam, ada jenawi di kakinya
   Jalannya megah dengan dada yang bidang
   Sinar matanya terlihat garang"

" Ketakutan, aku membuka langkah seribu
   Aku berlari dan terus berlari
   Aku tidak terhenti hingga berlanggar"

" Rupanya, sesuatu aku laga
   Badannya panjang dilitupi sisik
   Matanya bulat penuh kelembutan
   Taring kecilnya penambah seri
   Lidahnya merah cantik menarik
   Suaranya lembut dan gemersik
   Aku lantas tertawan dengannya"

" Sehingga aku menyedari
   Garis fajar mengufuk merah
   Aku lantas kembali ke rumah
   Untuk bertemu denganmu"

Si anak menyudahi bicaranya dan menatap si ibu

" Anakku, telah kudengar hikayatmu
   Dari akar hingga ke pucuk
   Akan tetapi, satu perkara aku kesali
   Kerana engkau memandang kulit bukan isi"

Terlakar riak keliru di wajah si anak

" Ibu, apa salahku mohon diceritakan
   Kerana aku hanya seekor arnab
   Yang baru mula meneroka buana"

"Anakku, haiwan yang pertama kautemu
  Tidak lain dan tidak bukan
  Adalah seekor beroga
  Suaranya kuat dan lantang
  Kelihatan besar dan menakutkan
  Sedangkan tidak memudaratkanmu"

"Manakala haiwan kedua yang engkau sua
 Adalah seekor ular
 Badan panjangnya boleh membelitmu
 Taring kecilnya terkandung bisa
 Yang bisa membunuhmu sekelip mata"

Si anak tergamam, terkejut tidak terkata
Si ibu tersenyum dan menyudahi bicaranya

" Wahai anakku, ingatlah
   Ke manapun engkau pergi
   Usah lupa satu perkara
   Jangan pernah sesekali
   Engkau menghina rupa luaran
   Kerana rupa luaran anugerah tuhan
   Sebaliknya, dalamilah dan selamilah hati
   Kerana jika hati baik
   Maka baiklah satu jasadnya,
   Sebaliknya, jika hati jelek
   Maka jeleklah seluruh tubuhnya"

Puisi ini adalah nukilan bersama:
 a)penaberlari
 b)dakwatumpah

Selasa, 27 Disember 2016

RENDAHNYA KITA


Mereka hidup tanpa akal
Maka orang menghukum bodoh
Mereka hirup tanpa hidung
Maka orang menghukum hodoh

Ketahuilah
Tatkala dilempar pada api
mereka lari
kerana mereka tahu
rasanya bukan sakar
azab dibakar

Sedang manusia
dari fajar ke asar
membuat dosa
lalu ke malam buta
mendekatkan diri ke api neraka
          Ada akal tidak berguna
          Ada jasad tidak berdaya
          Ada roh tidak bernyawa

Akhirulkalam,
Satu kata juta tanya
Adakah yang hodoh lebih bodoh?   


-Sajak ini adalah nukilan bersama:                                
                a)dakwatumpah
                b)penaberlari

Disiapkan pada 26/12/2016. 5:25 petang


Khamis, 22 Disember 2016

JALAN CERITA


               


Jalan cerita setiap manusia adalah berbeza
          Ada yang lahirnya di istana
          Ada yang lahirnya dalam keluarga berada
          Ada yang lahirnya tanpa pancaindera
          Ada yang lahirnya anak penoreh semata
Tetapi mentaliti mereka tetap sama
Terkejar ke sini sana
Memenuhi nafsu duniawi yang menggila
Harta, pangkat dan wanita mengaburi mata
Untuk menilai yang mana hakiki, yang mana fana

Mahukah kalian aku sedarkan

Satu kenyataan
Dengan seribu kebenaran
Bahawa kemasyhuran dan kekayaan
Tidak dipandang tuhan
Sebaliknya
Mulia dan tingginya darjat insan
Adalah bergantung pada taqwa dan iman

-Sajak ini adalah nukilan bersama:

       a) penaberlari
       b) dakwatumpah

Disiapkan pada 18/12/2016. 8:25 malam