Rabu, 30 Ogos 2017

MERDEKA MELAYU


Antara hamba dengan tuan
Lahir satu kata merdeka
Bebas tanpa kongkongan
Jelas tanpa bayangan
Sekarang aku si punya takhta
Sudah beradu sedang terlena

Sebelum pendatang membuka medan
Kita habis siap menyarung khaki
Memang arif mereka mesingan
Dibarut kaki dengan patis
Siap lengkap untuk berentap
Kerana Melayu itu sedia sahaja
Orang merangkak dia di puncak

Sebelum pendatang membuka madrasah di Pulau Pinang
Yamtuan Antah telah lahir di Negeri Sembilan
Akalnya anugerah alimnya fitrah
Tiada perlu pendidikan penjajah
Kerana Melayu itu benar-benar bijak
Ilmu renang mahirnya tidak
Membina jejambat melangkah ombak

Namun marcapada,
Sifar Dol Said pahlawan Naning
Yang tinggal Melayu pencukur kening
Sifar Tok Janggut ulama bangsa
Yang tinggal Melayu peratah sisa
Sifar Dato' Bahaman si Orang Kaya
Yang tinggal Melayu bernafsu buaya

Bukan ini Tuah hajatkan
Melayu Raya belum merdeka
Hakikat bebas bukan seni
Leburlah gerigi penjara nafsu
Padamlah api kemelut neraka
Pegang kuat juang semangat
Lakar empayar korbannya keringat

 Sajk ini ialah hasil nukilan bersama:-
   a)dakwatumpah
   b)penaberlari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan