Jumaat, 10 Mac 2017

PICISAN TERINDAH

Hidupku harum sentiasa
Kerana senyumanmu bunga
Hidupku tenang selalu
Kerana bicaramu bayu
Hidupku tiada iri
Kerana tingkahmu bukti
Waima begitu
Aku akan pergi
       Meninggalkan detik indah permai
       Meninggalkan saat aman damai
Kau akan jauh di mata
       Tetapi tidak di jiwa
       Tetapi tidak di hati
Kerana kita diikat dengan tali nan itu
Dipintal simpulan ukhuwah
Kamu dan aku
Berpisah tiada

Duhai tuhanku
Terbitkan aku dalam golongan yang tujuh
Yakni dua pemuda
Yang bertemu atas ArRahim-Nya
Berkasih kerana-Nya
Dan berpisah kerana Allah yang Esa

-Sajak ini adalah nukilan bersama:
     a)dakwatumpah
     b)penaberlari

Rabu, 1 Mac 2017

BAHASA BANGSA

Aku cuma pemuda
Berduka lara terkenang nasib nusa bangsa
Sedih melihat muda mudi negara
Melayu hanya pada nama
Islam kad pengenalan semata
Adab tidak mencerminkan bangsa
Bicara tidak melambangkan bahasa

Wahai saudaraku
Bahasa itu tunjang bangsa
Bahasa itu maruah bangsa
Harus kita angkat martabatnya
Agar tetap ampuh dan kukuh
Melayari arus modenisasi

Duhai bangsaku
Bahasa itu bunga bangsa
Cantiknya memukau semua
Mekarnya menyatupadukan kita
Agar tetap setia 
Di bawah panji merdeka

Ingat kata-kata laksamana agung itu
"Tidak akan hilang melayu di dunia,
Selagi berpegang pada islam"
Namun kini
Ke manakah hilangnya bangsa kita?

-Sajak ini adalah nukilan bersama:
     a)penaberlari
     b)dakwatumpah

Isnin, 6 Februari 2017

TENANG



Bulan mengambang memancar sinar
berlari di celah gerigi kamar
lambang kasih
ibarat mengukir nama tasbih
Bayu malam meremang
Amat tenang

Mahal Si Pohon itu pada harga
sebab daun kata yang dua tersimpul rapat
batang iman sangatlah kuat
akar tenang tular menjalar

Ramai insan bicara laju
Walhal berisi kutu
Tenang itu perlu
Rahsia kalam bermutu
Ubat sendu sembilu

Tenang itu di sini
Ya, lubuk hati!
yang menyimpan hakikat cinta
yang tersimpan belikat setia
menghumban serabut kepala

Inginku berhenti berlari
kerana aku sudah penat
yang dikejar tak dapat
di sini mula pergi
dalam senandung haiku termenung
mendengar riak ombak
tenang sentiasa

-Sajak ini adalah nukilan bersama:
      a)dakwatumpah
      b)penaberlari

Disiapkan pada 7.27 malam | 3/2/2017,Jumaat

Sabtu, 21 Januari 2017

ADAKAH AKU DERHAKA?


Derasnya denyutan nadi seorang ratu
Ketika terbaring diteman raja
Ketika mendengar suara manja

Maka dilahirkan
Mahu hilang nyawa dari badan
Air mata mengalir
Kata sakit meniti di bibir
Namun
Tangisan itu suka
Bahagia juga bangga
Rijal yang dua
Menjadi cahaya mata

Adakah aku derhaka?
Kau mendidik aku mengherdik
Aku dibesar kau dikasar
Sayang dicurah diganti bantah

Adakah aku derhaka?
     Dari itu kau mendapat uzur
     Dari itu kau muram durja
     Dari itu kau berhenti kerja

Malu anak derhaka
Menganggap rahim ibu
Biasa semata
Mereka lupa
Saat ibunya mengusap perut
Lalu berkata
"Ibu sayang anak ibu."
Mereka alpa
Saat ibunya dilawan mulut
Lalu bersuara
"Anakku tidak menghormatiku."
Bicara itu dicampur hiba

Aku janji
Tidak akan berbuat leta
Cacat wa cela
Sebab aku sudah jera
Bertindak bak tanggang
Laksana kera sumbang

Aku sentiasa menyayangimu
Kerana aku tahu
Pintu syurga di kakimu
Maka
Ke syurga haram anak derhaka

Sajak ini ialah nukilan bersama:
      a) dakwatumpah
     b) penaberlari

Sabtu, 31 Disember 2016

HATI






Ketika senja melabuh tirai
Kelihatan si anak berjalan longlai
Dengan kaki pembawa tuah

Badan lesunya dibawa rapat
Mendekati si ibu
Bibir mungilnya mula bercerita

 " Ibu, setelah engkau mengizinkan
   Aku berjalan seawal subuh
   Sebelum fajar sempat mengintai"

" Aku teruja menikmati keindahan
   Panorama yang belum pernah terlihat
   Kebahagiaan yang kurasa berpanjangan
   Sehingga satu lengkingan menyapa deria"

Si anak berhenti menelan liur

" Aku menoleh,
   Terlihat olehku seekor makhluk
   Mulutnya runcing, bulunya panjang
   Kukunya tajam, ada jenawi di kakinya
   Jalannya megah dengan dada yang bidang
   Sinar matanya terlihat garang"

" Ketakutan, aku membuka langkah seribu
   Aku berlari dan terus berlari
   Aku tidak terhenti hingga berlanggar"

" Rupanya, sesuatu aku laga
   Badannya panjang dilitupi sisik
   Matanya bulat penuh kelembutan
   Taring kecilnya penambah seri
   Lidahnya merah cantik menarik
   Suaranya lembut dan gemersik
   Aku lantas tertawan dengannya"

" Sehingga aku menyedari
   Garis fajar mengufuk merah
   Aku lantas kembali ke rumah
   Untuk bertemu denganmu"

Si anak menyudahi bicaranya dan menatap si ibu

" Anakku, telah kudengar hikayatmu
   Dari akar hingga ke pucuk
   Akan tetapi, satu perkara aku kesali
   Kerana engkau memandang kulit bukan isi"

Terlakar riak keliru di wajah si anak

" Ibu, apa salahku mohon diceritakan
   Kerana aku hanya seekor arnab
   Yang baru mula meneroka buana"

"Anakku, haiwan yang pertama kautemu
  Tidak lain dan tidak bukan
  Adalah seekor beroga
  Suaranya kuat dan lantang
  Kelihatan besar dan menakutkan
  Sedangkan tidak memudaratkanmu"

"Manakala haiwan kedua yang engkau sua
 Adalah seekor ular
 Badan panjangnya boleh membelitmu
 Taring kecilnya terkandung bisa
 Yang bisa membunuhmu sekelip mata"

Si anak tergamam, terkejut tidak terkata
Si ibu tersenyum dan menyudahi bicaranya

" Wahai anakku, ingatlah
   Ke manapun engkau pergi
   Usah lupa satu perkara
   Jangan pernah sesekali
   Engkau menghina rupa luaran
   Kerana rupa luaran anugerah tuhan
   Sebaliknya, dalamilah dan selamilah hati
   Kerana jika hati baik
   Maka baiklah satu jasadnya,
   Sebaliknya, jika hati jelek
   Maka jeleklah seluruh tubuhnya"

Puisi ini adalah nukilan bersama:
 a)penaberlari
 b)dakwatumpah