Rabu, 30 Ogos 2017

MERDEKA MELAYU


Antara hamba dengan tuan
Lahir satu kata merdeka
Bebas tanpa kongkongan
Jelas tanpa bayangan
Sekarang aku si punya takhta
Sudah beradu sedang terlena

Sebelum pendatang membuka medan
Kita habis siap menyarung khaki
Memang arif mereka mesingan
Dibarut kaki dengan patis
Siap lengkap untuk berentap
Kerana Melayu itu sedia sahaja
Orang merangkak dia di puncak

Sebelum pendatang membuka madrasah di Pulau Pinang
Yamtuan Antah telah lahir di Negeri Sembilan
Akalnya anugerah alimnya fitrah
Tiada perlu pendidikan penjajah
Kerana Melayu itu benar-benar bijak
Ilmu renang mahirnya tidak
Membina jejambat melangkah ombak

Namun marcapada,
Sifar Dol Said pahlawan Naning
Yang tinggal Melayu pencukur kening
Sifar Tok Janggut ulama bangsa
Yang tinggal Melayu peratah sisa
Sifar Dato' Bahaman si Orang Kaya
Yang tinggal Melayu bernafsu buaya

Bukan ini Tuah hajatkan
Melayu Raya belum merdeka
Hakikat bebas bukan seni
Leburlah gerigi penjara nafsu
Padamlah api kemelut neraka
Pegang kuat juang semangat
Lakar empayar korbannya keringat

 Sajk ini ialah hasil nukilan bersama:-
   a)dakwatumpah
   b)penaberlari

Ahad, 23 Julai 2017

TALAM DUA MUKA


Bicara mereka umpama cinta
Janji manis ditaburi permata
Tidak berisi melainkan dusta
Buruknya rupa seolah kusta

Kerana mereka
Dakwah baginda tidak mudah
Liku-liku menjadikannya susah
Hidup bertopengkan syaitan laknatullah

Kerana mereka
Perang Siffin dan Jamal meletus
Ukhuwwah yang dijalin terputus
Dipanggang api dendam dan rakus

Kerak neraka buat mereka
Si talam dua muka


-Sajak ini adalah nukilan bersama
     a)penaberlari
     b)dakwatumpah

Rabu, 10 Mei 2017

BANGSA MERDEKA



Peluru terbenam darah terkirai
Pecahnya sepi kerana gema
Jeritan pahlawan ulung yang ternama
Mempertahan tanah jajahan

Menggenggam merdeka ibarat memegang bara
Musuh bertenggek di serata plaza
Berjuanglah duhai wira; menentang antagonis
Agar tidak mengundang luka
Agar tidak watan sengsara
Agar tidak bangsa disia


-Sajak ini adalah nukilan bersama
      a)dakwatumpah
      b)penaberlari

Jumaat, 10 Mac 2017

PICISAN TERINDAH

Hidupku harum sentiasa
Kerana senyumanmu bunga
Hidupku tenang selalu
Kerana bicaramu bayu
Hidupku tiada iri
Kerana tingkahmu bukti
Waima begitu
Aku akan pergi
       Meninggalkan detik indah permai
       Meninggalkan saat aman damai
Kau akan jauh di mata
       Tetapi tidak di jiwa
       Tetapi tidak di hati
Kerana kita diikat dengan tali nan itu
Dipintal simpulan ukhuwah
Kamu dan aku
Berpisah tiada

Duhai tuhanku
Terbitkan aku dalam golongan yang tujuh
Yakni dua pemuda
Yang bertemu atas ArRahim-Nya
Berkasih kerana-Nya
Dan berpisah kerana Allah yang Esa

-Sajak ini adalah nukilan bersama:
     a)dakwatumpah
     b)penaberlari

Rabu, 1 Mac 2017

BAHASA BANGSA

Aku cuma pemuda
Berduka lara terkenang nasib nusa bangsa
Sedih melihat muda mudi negara
Melayu hanya pada nama
Islam kad pengenalan semata
Adab tidak mencerminkan bangsa
Bicara tidak melambangkan bahasa

Wahai saudaraku
Bahasa itu tunjang bangsa
Bahasa itu maruah bangsa
Harus kita angkat martabatnya
Agar tetap ampuh dan kukuh
Melayari arus modenisasi

Duhai bangsaku
Bahasa itu bunga bangsa
Cantiknya memukau semua
Mekarnya menyatupadukan kita
Agar tetap setia 
Di bawah panji merdeka

Ingat kata-kata laksamana agung itu
"Tidak akan hilang melayu di dunia,
Selagi berpegang pada islam"
Namun kini
Ke manakah hilangnya bangsa kita?

-Sajak ini adalah nukilan bersama:
     a)penaberlari
     b)dakwatumpah